Gambaran keseluruhan Hudud

Jenayah hudud ditakrifkan dalam al-Quran dan Hadis, bahkan dikira sebagai "tuntutan Allah" di mana Daulah Islamiyah (negara Islam yang berdaulat) diberi kewajipan dan tanggungjawab untuk menghukum jenayah hudud. Kesemua kesalahan lain ditakrifkan sebagai "tuntutan hamba-hamba-Nya" dan tanggungjawab pendakwaan terserah kepada mangsa.

al-Quran

Kitab al-Qur'an menghuraikan beberapa jenayah yang tergolong dalam hudud dan adakalanya hukuman yang dituntut masing-masing.[10] Jenayah pencurian hudud diperikan dalam Surah al-Mā'idah ayat 38:[10]

Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

al-Quran 5:38

Jenayah menyamun atau merompak atau penderhakaan terhadap Islam di dalam Daulah Islamiyah diliputoi oleh Surah al-Mā'idah ayat 33:[10]

Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.

al-Quran 5:33

Jenayah minum arak dicakupi oleh Surah al-Mā'idah ayat 90, tetapi hukumannya disuratkan dalam Hadis:[10]

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

al-Quran 5:90

Jenayah zina dan mukah dicakupi oleh beberapa ayat, termasuklah Surah an-Nur ayat 2:[10]

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

al-Quran 24:2

Jenayah-jenayah hudud mengenai qazaf dan murtad berasaskan surah-surah an-Nur ayat 4 dan 6, surah at-Taubah ayat 66 dan surah an-Nahl ayat 106 antara lainnya.[10][11]

Hadis

Hadis yang sahih dikira sebagai sumber perundangan syariah yang paling dipercayai selain al-Quran. Ia secara menyeluruh menghuraikan jenayah dan hukuman berasaskan hudud.[12][13] Adakalanya al-Quran menentukan jenayah hudud tanpa menyatakan hukumannya, maka hukumannya ditentukan menurut hadis oleh para ilmuwan Islam.[10] Antaranya:[10]

Rasulullah saw. memotong tangan pencuri dalam (pencurian) sebanyak seperempat dinar ke atas.

– Aisyah r.a., Sahih Muslim

Sesungguhnya seorang lelaki yang meminum arak telah dihadapkan kepada Nabi s.a.w kemudian baginda telah memukulnya dengan dua pelepah kurma sebanyak empat puluh kali. Abu Bakar (pada masa pemerintahannya) juga telah melakukan perkara yang sama, sehingalah pada masa Umar (menjadi khalifah), beliau telah berbincang dengan para sahabat dan Abdul Rahman bin Auf telah mencadangkan (supaya diperberatkan hukuman kepada 80 sebatan) hudud yang paling ringan iaitu 80 sebatan.

– Anas bin Malik ra., Sahih Muslim

Hudud lawan kategori jenayah yang lain

Hudud adalah salah satu daripada tiga kategori dalam Kanun Jenayah Syariah:[14][15]

  • Qisas – bermaksud tindakan balas, menurut rukun "mata dibalas mata."
  • Hudud – Hukuman yang sudah ditetapkan oleh al-Quran.
  • Takzir – hukuman yang dilaksanakan atas budi bicara hakim syariah.

Antara kesalahan hudud adalah:[16]

  • Pencurian (as-Sariqah, السرقة)[17]
  • Penyamunan (Haraba, Qat' al-Tariq, قطع الطريق), atau lain-lain perbuatan jahat terhadap Daulah Islamiyah[17]
  • Keluar dari agama (Riddah, ردة or Irtidad, ارتداد), iaitu tindakan meninggalkan Islam untuk memeluk agama lain atau menjadi ateis[18][19]
  • Zina (Zina’, الزنا), merangkumi persetubuhan sebelum nikah, luar nikah dan sejenis (homoseksual)[20][21]
  • Qazaf, iaitu tuduhan zina palsu (Qadhf, القذف)[17][22]
  • Minum arak, perjudian dan mempertikai Imam atau menderhakai Islam (Shurb al-Khamr, Maisir, Baghi)[17]

Pembunuhan, pencederaan orang dan pemusnahan harta bukanlah jenayah hudud.[14]

Pembunuhan menurut hukum Islam bukanlah jenayah hudud tetapi dilayan seperti pertelingkahan peribadi antara pembunuh dan pewaris mangsa. Pewaris mangsa boleh memilih untuk tidak menuntut apa-apa, menuntut hak untuk mengampuni pembunuh atau menuntut ganti rugi (rujuk Diyat) atau menuntut kematian buat pembunuh (rujuk Qisas). Pewaris itu tidak boleh menuntut apa-apa dalam hal yang mana tertuduh "membunuh mangsa dengan munasabah" seperti kes-kes yang mana mangsa bunuh melakukan zina, kufur atau murtad.[23][24] Jenayah maruah yang mana seorang Muslimah dibunuh oleh sanak-saudara kerana tingkah laku seksualnya mengaibkan maruah keluarganya dilayan sebagai perihal sivil.[14] Demikian juga, pencederaan dan pemusnahan harta dikira sebagai pertikaian bukan jenayah sesama pihak.[14]

Tafsiran mengikut mazhab

Terdapat perbezaan kecil antara pandangan-pandangan empat mazhab Sunnah berkenaan pelaksanaaan dan spesifikasi untuk undang-undang ini dalam perihal Baghj (pertikaian atau kritikan terbuka terhadap pihak berkuasa keagamaan seperti Imam).[10] Baghj merupakan pencabulan terhadap Surah al-Hujurat ayat 9,[25] dan merupakan kesalahan hudud dalam kesemua aliran hukum Sunnah mahupun Syiah. Bagaimanapun, ia berbeza dengan jenayah hudud yang lain kerana ayatnya menganjurkan supaya yang tertuduh mencabul hukum Islam menerima pembelaan, malah terdapat perbezaan pendapat sesama fiqh akan proses yang diperlukan sebelum menjatuhkan hukumannya. Dalam kategori dan kes-kes lain, syariah merupakan hukum tentuan Allah dalam agama Islam yang menetapkan hukuman-hukuman tertentu untuk setiap jenayah, malah tidak sesekali terubah. Hudud merupakan kewajipan yang dituntut oleh Allah menerusi wahyu kepada Muhammad s.a.w. dan tidak boleh dipinda atau dimansuhkan oleh rakyat, hakim mahupun perundangan. Sesiapa pun yang sekali didakwa atas jenayah hudud mesti dikejar oleh Daulah, bahkan dakwaan itu tidak boleh ditarik balik, malah tiada pihak berkuasa pun boleh memberikan pengampunan. Pesalah itu mesti dihukum.[26]

Rujukan

WikiPedia: Hudud http://azizulhakim91.blogspot.com/2011/12/sembang-... http://www.oxfordislamicstudies.com/article/opr/t1... http://time.com/107012/brunei-sharia-hudud-sultan/ http://www.washtimes.com/op-ed/20061116-090021-396... http://www.academia.edu/1035742/The_Quranists http://igcs.binghamton.edu/igcs_site/dirton27.htm http://www.perseus.tufts.edu/hopper/text?doc=Perse... http://scholarlycommons.law.wlu.edu/wlulr/vol64/is... http://tanzil.net/#trans/ms.basmeih/16:106 http://tanzil.net/#trans/ms.basmeih/24:002